
Anak yatim berisiko tinggi mengalami masalah kesihatan mental akibat kehilangan ibu bapa serta kekurangan kasih sayang dan sokongan emosi. Antara masalah yang sering dialami termasuk kemurungan, kebimbangan melampau, trauma, dan rasa rendah diri. Mereka juga mungkin menghadapi kesukaran dalam membina hubungan sosial dan mengalami tekanan perasaan kerana rasa terpinggir atau tidak disayangi.
Tanpa bimbingan yang betul, masalah ini boleh menjejaskan perkembangan emosi dan akademik mereka. Justeru, pusat jagaan seperti Rumah Titian Kaseh memainkan peranan penting dalam memberikan perlindungan, pendidikan dan kasih sayang kepada anak-anak yatim ini.
Anda boleh membantu Rumah Titian Kaseh dengan pelbagai cara. Antaranya ialah memberi sumbangan kewangan, barangan keperluan harian, atau menyumbang masa sebagai sukarelawan. Anda juga boleh membantu dengan menyediakan program motivasi, bimbingan belajar, atau kaunseling bagi menyokong kesihatan mental mereka.
Seperti Projek Discover the Joy of Reading dianjurkan di bawah IMU Universiti. Dengan seliaan mereka, jawatankuasa penganjur yang bersemangat ini telah berjaya menganjurkan beberapa siri aktiviti pembelajaran Bahasa Inggeris untuk anak-anak yatim di Rumah Titian Kaseh.
Dengan sokongan berterusan daripada masyarakat, anak-anak yatim ini berpeluang menjalani kehidupan yang lebih seimbang, ceria dan bermakna walaupun tanpa kehadiran ibu bapa.