Kembara MyCare Singgah Sahur Bersama Warga Rumah Titian Kaseh

Pada 18 Mac 2025 (Selasa), suasana sahur di Rumah Titian Kaseh, Titiwangsa menjadi lebih bermakna apabila menerima kunjungan daripada Kelab Kembara MyCare ALAGOM dalam program “Kembara MyCare Singgah Sahur”.

Program yang ringkas namun penuh nilai ini telah menyantuni penghuni RTK. Majlis bersahur bersama ini bukan sahaja mengeratkan ukhuwah, malah memberi ruang kepada para pelajar untuk mendekati komuniti serta memahami erti keprihatinan dan tanggungjawab sosial.

Selesai bersahur, pengerusi kelab, Saudara Ammar Zafran (Tingkatan 5) telah menyampaikan tazkirah ringkas serta mengadakan kuiz berkaitan Nuzul al-Quran, bersempena keberkatan bulan Ramadan. Sesi tersebut disusuli dengan permainan santai (games) yang berjaya menceriakan hati adik-adik di Rumah Titian Kaseh.

Inisiatif ini jelas mencerminkan semangat “Adventure with purpose, serve with passion!” yang menjadi pegangan Kelab Kembara MyCare ALAGOM di bawah Jabatan Kokurikulum. Program seperti ini bukan sahaja memberi kegembiraan kepada penghuni Rumah Titian Kaseh, malah membentuk sahsiah pelajar agar menjadi insan yang bermanfaat kepada masyarakat.

Rumah Titian Kaseh merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli Kelab Kembara MyCare ALAGOM atas usaha murni dan keprihatinan yang ditunjukkan. Semoga jalinan silaturahim ini terus berkekalan dan menjadi inspirasi kepada lebih ramai pihak untuk bersama-sama menyebarkan kebaikan.

Scroll to Top