Sekolah Sri KDU Kota Damansara telah menganjurkan muzikal Arabian Nights : The Aladdin Musical Production pada 23 November 2024 dan berjaya mengumpul dana sebanyak RM38,505 untuk membantu rumah kebajikan tempatan.
Persembahan muzikal ini berjaya menjadi salah satu platform terbesar bagi sekolah terbabit mengumpul dana dengan penyertaan 383 pelajar yang turut
mendapat sokongan yang menggalakkan daripada ahli keluarga dan komuniti
setempat.
Sumbangan akan disalurkan kepada Pusat Jagaan Titian Kaseh dan Rumah HOPE bagi membeli barangan keperluan dan kegunaan pusat berkenaan.
Muzikal ini menghidupkan keindahan kota Agrabah melalui kisah klasik Aladdin, seorang pemuda berani dan pintar yang berjaya memenangi hati Puteri Jasmine serta menggagalkan rancangan ahli sihir Jafrrina.
Dengan kostum berwarna-warni, dekorasi pentas yang mempesonakan dan watak Genie yang mencuit hati, pelakon tampil bertenaga, membawa tema persahabatan, kasih sayang dan kepercayaan ke dalam setiap persembahan.
Guru Besar Sekolah Rendah Kebangsaan Sri KDU Shamsiah Anverdeen berkata, pementasan ini bukan sekadar persembahan muzikal, ia adalah peluang untuk pelajar Sri KDU mengasah kreativiti, membina sikap tanggungjawab dan memupuk belas kasihan. Dedikasi pelajar, baik di pentas mahupun di belakang tabir, menjadikan cerita ini milik mereka sendiri.
Seramai 383 pelajar berusia tujuh hingga 12 tahun memainkan pelbagai peranan sebagai pelakon, penari atau kru belakang tabir yang menguruskan props dan pentas.
Persembahan ini juga cukup bermakna kerana ia diserikan oleh Sri KDU String Orchestra yang dianggotai seramai 37 ahli dan baru sahaja memenangi anugerah serta mendapat pengiktirafan antarabangsa dalam pertandingan orkestra di Hong Kong.