
Pengabaian dalam kalangan kanak-kanak sering berlaku akibat pelbagai faktor seperti kemiskinan, penceraian ibu bapa, masalah penyalahgunaan dadah, dan kekurangan kasih sayang dalam keluarga. Apabila ibu bapa tidak mampu menyediakan keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal, dan pendidikan, kanak-kanak terdedah kepada risiko pengabaian emosi dan fizikal. Selain itu, tekanan hidup yang tinggi serta kurangnya kesedaran tentang tanggungjawab keibubapaan turut menjadi punca utama berlakunya pengabaian ini.
Rumah Titian Kaseh (RTK) berperaan penting dalam menangani isu ini dengan menyediakan tempat perlindungan yang selamat dan penuh kasih sayang kepada kanak-kanak terabai. RTK bukan sahaja menyediakan keperluan asas seperti makanan, pakaian, dan tempat tinggal, tetapi juga memastikan pendidikan dan perkembangan emosi mereka dijaga. Kanak-kanak di RTK turut dibimbing secara rohani dan moral agar mereka dapat membina jati diri yang kukuh. Program motivasi, kelas bimbingan, dan aktiviti sosial disediakan bagi memupuk keyakinan diri serta menyediakan mereka untuk masa depan yang lebih cerah. Melalui usaha ini RTK membantu mengurangkan impak pengabaian dan memberi peluang kedua kepada kanak-kanak untuk menjalani kehidupan yang lebih baik dan bermakna.