
Rumah anak yatim memainkan peranan yang sangat penting dalam masyarakat. Ia bukan sahaja menyediakan tempat tinggal yang selamat untuk anak-anal yatim, malah menjadi pusat penjagan, pendidikan dan pembangunan emosi mereka. Kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa berdepan dengan cabaran besar dalam kehidupan, dan rumah anak yatim membantu mereka mengatasi kesedihan serta membina masa depan yang lebih cerah.
Selain daripada menyediakan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan perlindungan, rumah anak yatim juga memberikan pendidikan formal dan bimbingan rohani. Ini membolehkan mereka membesar dengan nilai-nilai murni dan menjadi individu yang bertanggungjawab serta berguna kepada masyarakat.
Rumah Titian Kaseh, lebih dikenali sebagai RTK merupakan sebuah badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada tahun 1998 dengan tujuan untuk menyediakan tempat perlindungan bagi kumpulan yang memerlukan seperti anak-anak yatim piatu atau terbiar, ibu tunggal, wanita teraniaya, orang kurang upaya (OKU).
Terletak berdekatan dengan Taman Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur, pusat kami memainkan peranan yang penting dengan misi utama untuk memberikan bantuan, perlindungan, sokongan dan pembelaan kepada golongan yang kurang bernasib baik.
RTK juga membuka peluang kepada masyarakat untuk menunjukkan keprihatinan dan sifat kasih sayang melalui sumbangan dan kerja sukarelawan. Ini menggalakkan semangat gotong-royong dan perpaduan dalam kalangan rakyat.
Lebih penting lagi, RTK membantu mengurangkan gejala sosial seperti gelandangan, jenayah dan pengabaian kanak-kanak. Dengan memberikan penjagaan yang rapi dan kasih sayang, anak-anak ini mempu mencapai potensi sebenar mereka.
Kesimpulannya, Rumah Titian Kaseh adalah institusi yang sangat penting dalam membentuk generasi masa depan yang berakhlak dan berdaya saing, serta memainkan peranan besar dalam membina masyarakat yang penyayang dan bertanggungjawab.