Rumah Titian Kaseh melakar satu lagi detik bermakna dalam usaha memperkasakan pendidikan dan pembangunan sahsiah anak-anak asnaf apabila dipilih sebagai lokasi pertama pelaksanaan program Quranic Madani, sebuah inisiatif pendidikan al-Quran yang digerakkan oleh pendakwah bebas terkenal, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz.
Program yang berlangsung dalam suasana penuh mesra dan bermakna ini memberi peluang kepada para penghuni untuk mendalami ilmu al-Quran serta memperbaiki bacaan tajwid melalui sesi pembelajaran yang interaktif dan mudah difahami. Kehadiran PU Riz turut memberi suntikan semangat kepada anak-anak untuk terus mencintai dan mendekati al-Quran sebagai panduan hidup.
Bagi pihak Rumah Titian Kaseh, pelaksanaan Quranic Madani membawa makna yang sangat besar kerana ia membuka ruang kepada anak-anak untuk memperoleh akses kepada pendidikan agama yang berkualiti. Dalam dunia yang semakin mencabar, pendidikan al-Quran berperanan penting dalam membentuk jati diri, disiplin dan nilai-nilai murni yang akan menjadi bekalan mereka pada masa hadapan.
Rumah Titian Kaseh amat menghargai usaha murni yang dibawa melalui inisiatif Quranic Madani, yang bukan sahaja menekankan aspek pendidikan agama, malah membantu membentuk sahsiah dan nilai-nilai murni dalam diri generasi muda.
Pihak Rumah Titian Kaseh merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PU Riz dan seluruh pasukan Quranic Madani atas kesudian memilih Rumah Titian Kaseh sebagai sebahagian daripada lokasi pelaksanaan program ini. Semoga usaha yang dijalankan menjadi asbab lahirnya generasi yang berilmu, berakhlak mulia dan sentiasa menjadikan al-Quran sebagai pedoman dalam kehidupan.
Terima kasih atas keprihatinan dan sokongan yang diberikan kepada anak-anak Rumah Titian Kaseh. Semoga segala amal kebajikan ini dikurniakan ganjaran yang berlipat ganda.
