Kakitangan Tune Group menyumbangkan sejumlah RM2,012 yang dikutip semasa majlis buka puasa yang dianjurkan syarikat. Tidak ketinggalan dihulurkan pelbagai barangan dan hadiah yang disumbangkan syarikat-syarikat tersebut.
Wakil-wakil dari Tune Group of Companies termasuk Tune Hotels, Tune Talk, Tune Money, Kuala Lumpur Education City (KLEC), Lotus Racing dan Asean Basketball League meluangkan masa kira-kira satu jam bersama penghuni-penghuni Rumah Titian Kasih yang terletak di Taman Tasik Titiwangsa di ibukota.
Rumah Titian Kasih yang menempatkan anak-anak yatim dan terbiar, menyeru badan-badan korporat serta orang perseorangan untuk memberikan sokongan yang konsisten kepada aktiviti perniagaan yang dijalankannya secara berkala atau bulanan bagi membantu menampung perbelanjaan bulanannya yang mencecah jumlah RM30,000.
Menurut pengasas dan pengetuanya Sharifah binti Adlan, pihak Rumah Titian Kaseh amat bersyukur dan berbesar hati atas sumbangan yang melimpah masuk semasa musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, namun hakikatnya rumah tersebut memerlukan sokongan sepanjang tahun tanpa mengira musim.
