Menjelang sambutan Aidilfitri, pelbagai pihak tampil menunjukkan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan. Antara organisasi yang turut menyumbang kepada komuniti ialah Watsons Malaysia melalui kempen perayaan mereka yang dikenali sebagai “Pentas Raya Glam”.
Kempen ini bukan sahaja menawarkan pelbagai promosi perayaan kepada pelanggan, malah turut menzahirkan semangat berkongsi rezeki dengan masyarakat melalui program kebajikan yang melibatkan rumah-rumah kebajikan di seluruh negara.
Sebagai sebahagian daripada usaha murni tersebut, pihak Watsons Malaysia telah mengadakan lawatan ke Rumah Titian Kaseh, Titiwangsa bagi menyantuni para penghuni yang terdiri daripada anak-anak yatim, ibu tunggal serta individu kurang upaya. Dalam kunjungan tersebut, pihak Watsons Malaysia telah menyampaikan sumbangan keperluan asas penjagaan diri serta barangan keperluan harian kepada penghuni rumah kebajikan ini.
Selain itu, program yang dianjurkan turut merangkumi pemeriksaan kesihatan asas dan bengkel pendidikan kesihatan bagi memberi pendedahan mengenai penjagaan diri serta kesihatan yang lebih baik. Program ini juga diserikan dengan sesi berbuka puasa bersama, yang bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim serta menyemarakkan semangat kebersamaan menjelang Syawal.
Dalam masa yang sama, ahli Watsons Club turut digalakkan untuk menyumbangkan mata ganjaran kesetiaan melalui aplikasi mudah alih Watsons bagi menyokong usaha kebajikan kepada Rumah Titian Kaseh. Inisiatif ini memberi peluang kepada orang ramai untuk turut sama membantu golongan yang memerlukan melalui cara yang mudah dan bermakna.
Pihak Rumah Titian Kaseh merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Watsons Malaysia atas keprihatinan dan sokongan yang diberikan. Sumbangan dan program seperti ini bukan sahaja membantu memenuhi keperluan harian penghuni, malah membawa kegembiraan serta semangat baharu kepada mereka menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Semoga usaha kebajikan seperti ini terus menjadi inspirasi kepada lebih banyak pihak untuk bersama-sama menyumbang dan berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.
Pautan Laporan Media Berita / Keratan Akhbar / Media Sosial
Bernama
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2532393
Watsons Malaysia
https://www.watsons.com.my/csr-rumah-titian-kaseh
https://www.facebook.com/watsonsmalaysia/posts/this-raya-turn-your-watsons-points-into-blessings-your-points-can-help-provide-c/1508335837314735/
