
Menjelang sambutan Aidilfitri minggu depan, Yayasan Bank Rakyat (YBR) tidak melepaskan peluang membawa 90 anak-anak yatim dari Rumah Titian Kaseh, Titiwangsa membeli pakaian raya di sebuah pasar raya di ibu negara.
YBR memperuntukkan RM13,500 untuk membeli pakaian raya bagi anak-anak yatim berkenaan, masing-masing menerima sumbangan RM150 untuk membeli dua pasang baju raya.
Selain dapat meringankan beban mereka yang memerlukan, sumbangan ini sekali gus merapatkan lagi ukhuwah antara kakitangan YBR dengan masyarakat sesama bangsa dan agama.
Sementara itu, Pengurus Rumah Titian Kaseh, Sharifah Adlan, berkata pihaknya amat berbesar hati menerima kunjungan daripada YBR serta meraikan anak-anak yang berada di pusat jagaan terbabit.
Katanya, mereka amat mengalu-alukan sumbangan berkenaan kerana sekurang-kurangnya anak-anak yatim itu dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti bersama pihak luar serta membantu mereka menyambut Aidilfitri sama seperti orang lain.
Dengan bantuan YBR membawa anak-anak ini ke pusat beli-belah hari ini dapatlah mereka memilih sendiri baju raya yang diingini serta memberikan rasa keterujaan untuk menyambut Aidilfitri sama seperti orang lain tanpa rasa terasing dan terpinggir.
Orang ramai atau syarikat korporat yang ingin menyumbang kepada pusat jagaan itu boleh terus menghubungi rumah terbabit menerusi talian 019-6455796.